Khalifah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Apa tujuan insan diturunkan ke bumi oleh Allah swt?
Sesungguhnya untuk beribadat kepada Allah swt. 

Adakah ibadat itu maksudnya solat, puasa, zakat dan haji?
Ibadat itu sangatlah luas maksudnya. Setiap kebaikan yang memberi manfaat kepada setiap mahkluk di dunia ini adalah ibadah. 

Kita manusia dipilih menjadi khalifah oleh Allah swt di dunia ini. 
Khalifah untuk setiap mahkluk iaitu jin, binatang, pokok, gunung ganang, sungai, laut, tasik, air dan banyak lagi yang kita sedar atau pun tidak. Mahkluk-mahkluk ini lebih dulu wujud di dunia ini, di bumi ini sebelum kita manusia. Kedudukan manusia istimewa disisi Allah swt, sebab itu kita dipilih untuk menjadi khalifah untuk berbakti kepada mahkluk-mahkluk di dunia ini dengan ikhlas dan sabar. Ganjaran yang kekal abadi akan menjadi milik khalifah-khalifah yang taat bertaqwa menunaikan tanggung jawab ini.

Oleh sebab keistimewaan kita disisi Allah swt, iblis merasa cemburu dan berdendam dengan manusia sehingga bertekad untuk menyesatkan kita sehingga kiamat. Padahal iblis ini asalnya ialah malaikat yang paling alim dan yang paling banyak beribadat kepada Allah swt. Semua ibadat itu menjadi sia-sia kerana perasaan angkuh dan sombong, merasakan dia lebih baik dari yang lain. 
Maka, kita perlu buang sifat sombong, angkuh, cemburu dan dendam di dalam diri kita ini agar kita tidak termasuk dalam kelompok pengikut iblis dan syaitan.

Semoga setiap ibadah kita tidak menjadi sia-sia pada pandangan Yang Maha Esa, Allah swt. Setiap insan tidak berhak untuk memandang rendah kepada insan yang lain kerana setiap tanggung jawab khalifah itu dibawah urusan Yang Maha Kuasa. 

Dalam hidup setiap insan tersedia dengan pelbagai tanggung jawab yang sama dan juga berbeza. Tanggung jawab kita semua sebagai hamba Allah swt ialah mentaati perintah serta syariat seorang hamba kepada Pemilik sekian alam, Allah swt. Tanggung jawab kita sebagai seorang ibu, bapa, anak, para pendidik, para pemimpin, tukang sapu, tukang simen, saintis, arkitek, peguam dan setiap pekerjaan setiap tugas itu berbeza tetapi setiap tanggung jawab itu adalah ibadah sebagai seorang khalifah. Setiap insan juga adalah khalifah kepada insan yang lain. Kita hidup di dalam persekitaran yang saling memerlukan di antara satu sama lain. Seorang anak memerlukan seorang ibu, seorang ibu memerlukan seorang suami, golongan kaya memerlukan yang miskin, golongan kuat memerlukan yang lemah, golongan pandai memerlukan yang cetek ilmu dan begitu juga sebaliknya.

Maka setiap individu di dunia ini ada manfaat masing-masing sebagai khalifah Allah swt. Niatkanlah setiap usaha kita kerana Allah swt agar ia menjadi lebih ikhlas, lebih sempurna dengan bantuan dan bimbingan dari Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang.

Sudah pasti ada di antara kita yang tidak sedar bahawa jasad kita ini juga terdiri daripada mahkluk-mahkluk milik Allah swt Yang Maha Hebat. Setiap organ, setiap anggota, setiap sel, setiap titis darah, setiap titis air, setiap utas urat serta rambut di dalam jasad ini adalah mahkluk-mahkluk yang menjadi tanggung jawab kita. Oleh itu, jalankanlah tanggung jawab kita dengan sebaik-baiknya menjaga amanah ini. Setiap tanggung jawab yang dilaksanakan dengan sebaik-baiknya akan mendapat ganjaran oleh Allah swt, begitu juga jika sebaliknya, ada pembalasan yang menanti.

Suatu ketika, kita akan disoal tentang apa yang telah dikerjakan sepanjang hidup di dunia, tetapi diri kita ini tidak dapat menjawab soalan-soalan itu, sudah tidak ada alasan atas segala kelalaian. Setiap mahkluk yang wujud di dunia ini dan di dalam jasad ini akan menjadi saksi jujur menjawab setiap soalan melalui penyaksian sepanjang hayat di dunia. 

Maka, bangkitlah dari kelekaan, kelalaian dan kemalasan dalam menjalankan tugasmu kerana ianya adalah ibadah seorang khalifah Allah swt di dunia ini. Datangkanlah kesedaran untuk berusaha menjadi khalifah Allah swt yang lebih baik, bertanggung jawab, amanah, jujur dan ikhlas. Tanggung jawab ibu bapa kepada anaknya, suami kepada isterinya, isteri kepada suaminya,  anak kepada ibu bapanya, pemimpin kepada rakyatnya, para pendidik kepada pemimpin masa depan dan setiap insan kepada insan yang lain.

Setiap kita perlu sedar dan faham siapa kita dan apa amanah yang wajib serta perlu kita jalankan, usahakan dan jayakan dengan rasa tanggung jawab sebagai khalifah Allah swt, kerana setiap yang diusahakan di dalam setiap detik waktu, setiap hela nafas, setiap denyut jantung, setiap titisan keringat, setiap perbelanjaan rezeki akan disoal oleh Yang Maha Mengetahui.

Comments

Popular Posts