Tentang Ibadah di Bulan Ramadhan

Information gathered from forwarded email, several blogs, websites and articles

PUASA

(Petikan dari Kitab Tuntutan Ibadah: Perukunan Ibadah Sepanjang Zaman oleh As-Shaikh Ali b. Abdullah)

Ertinya:
Menahan diri dari makan dan minum atau apa-apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari dalam sebulan bulan Ramadhan.

Perintah wajib puasa turun pada bulan Sya’ban Tahun 2 Hijrah.

Dalil:
Perintah wajib puasa : Surah Al-Baqarah Ayat 183:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٨٣


Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa

Wajib Puasa:
1) Islam
2) Mukalaf
3) Berkuasa/Mampu untuk berpuasa, tidak uzur
4) Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan bulan Ramadhan dengan menggenapkan bulan Sya’ban 30 hari.

*Mukalaf: seorang manusia yang mempunyai keupayaan akal fikiran.

Sah Puasa:
1) Beragama Islam sahaja, lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang telah mumaiyyiz.
2) Suci dari haid dan nifas.
3) Sempurna akal fikirannya sepanjang hari itu.
4) Bukan pada hari yang tidak sah puasa eg. Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Hari Syak (30hb Sya’ban).

*Mumaiyyiz:menurut kebiasaan, bagi lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun manakala perempuan pula apabila berumur 9 tahun.

Rukun Puasa:
1) Orang yang berpuasa.
2) Niat, di waktu malam mulai selepas Maghrib sampai sebelum terbit fajar.
3) Meninggalkan semua perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbitnya fajar sampai terbenamnya matahari.

Membatalkan Puasa:
Sekiranya
1) Memasukkan benda/sesuatu ke dalam jauh rongga seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja.
2) Muntah dengan sengaja.
3) Mengeluarkan mani dengan sengaja.
4) Haid atau nifas.
5) Bersetubuh di siang hari (selain membatalkan puasa ia juga ada hukum tersendiri iaitu diwajibkan membayar kifarah).
6) Murtad (keluar dari Islam).
7) Gila (hilang akal).

Pantang-larang puasa:
Iaitu perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa, maknanya berpuasa tidak mendapat apa-apa pahala kecuali lapar dan dahaga (puasa yang sia-sia).
1) Berdusta, berbohong.
2) Mengumpat, mengata orang.
3) Membuat sesuatu yang boleh mendatangkan permusuhan.
4) Melihat benda-benda yang mendatangkan keinginan.
5) Marah.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Bermaksud: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Bermaksud: “Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri dari percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji”.
(Hadis menurut Sahih Muslim)

Sunat-sunat Puasa:
1) Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Bermaksud: “Allah berfiman: Hambaku yang lebih Aku cintai adalah mereka yang menyegerakan berbuka”.

2) Makan sahur walaupun sedikit.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Bermaksud: “Makan sahur itu berkat, oleh kerana itu jangan kamu tinggalkan, walau hanya sekadar meneguk seteguk air, kerana Allah merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat mendoakannya”.

3) Melambatkan makan sahur iaitu lepas daripada tengah malam dan sebelum waktu imsak.
4) Berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis.
5) Memperbanyakkan membaca Al-Quran.
6) Memperbanyakkan sedekah.
7) Beriktikaf siang hari dalam masjid.
8) Menghadiri majlis-majlis ilmu.
9) Menyediakan makanan untuk berbuka untuk orang-orang berpuasa.
10) Jangan bersugi setelah tergelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari kerana boleh memakruhkan puasa.

Golongan Yang Harus (Dibenarkan) Berbuka Puasa:
1) Orang yang di dalam (perjalanan - musafir), tetapi wajib di qada’.
2) Orang sakit, wajib di qada’.
3) Ibu yang menyusukan anak, jika takut mudharat bagi dirinya, maka wajib qada’ dan jika takut mudharat bagi anaknya maka wajib qada’ dan fidyah.

Bacaan Niat Puasa:

1)Lafaz setiap malam. Niat ringkas:

نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

Bermaksud:"Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala".

2)Lafaz lengkap:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Bermaksud:"Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala".

* Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa.

Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:

Lafaznya:

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

Bermaksud:"Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala".

* Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
* Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu niatnya:

“Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala”.

Waktu berniat

Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

Bacaan Hendak Berbuka Puasa:



Bermaksud:“Ya Tuhanku, keranaMu jua aku berpuasa, dan denganMu aku beriman dan di atas rezekiMu aku berbuka dengan belas kasihMu Ya Allah Ya Amat Mengasihi”.

( Petikan dari Risalah Siri (11) : Sembahyang Tarawih, Terbitan Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri (1981) – Cetakan Ketiga)

SEMBAHYANG TARAWIH
1. Hukum Sembahyang Tarawih:
a) Hukumnya sunat muakkad (yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan samada secara berseorangan atau berjamaah.
b) Sunnat dikerjakan di masjid, surau dan lain-lain tempat sembahyang orang-orang Islam.
2. Waktu Sembahyang Tarawih:
Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Isya’.
3. Rakaat Sembahyang Tarawih:
a) Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Tarawih ini sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.
b) Pada zaman Rasulullah s.a.w. sembahyang Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan.
c) Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.
d) Sembahyang Terawih hendaklah ditunaikan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.
4. Lafaz Niat Sembahyang Tarawih:
a)Lafaz Niat Sembahyang Tarawih:Solat Sendiri



Bermaksud:"Sahaja aku Solat Sunat Tarawih dua rakaat kerana Allah Ta'ala".

b)Lafaz Niat Solat Tarawih:Solat Berjemaah



Bermaksud:"Sahaja aku solat sunat Tarawih dua rakaat(Imam atau makmum) kerana Allah Ta'ala".

5. Rukun Sembahyang Tarawih
Rukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun sembahyang yang lain juga.

SEMBAHYANG WITR
1. Sembahyang Sunat Witr
a) Menurut kebiasaan umum orang-orang Islam di Malaysia menunaikan sembahyang Witr selepas sunat Tarawih ini sebanyak 3 rakaat sahaja. Sunat Witr ini ditunaikan secara berjamaah.
b) Salam selepas dua rakaat yang pertama.
c) Lafaz niat sembahyang sunat Witr
i- bagi dua rakaat yang pertama:



Bermaksud:"Sahaja aku sembahyang Witr dua rakaat ma’mum kerana Allah Ta’ala".

ii- bagi rakaat yang akhir:



Bermaksud:"Sahaja aku sembahyang Witr satu rakaat ma’mum kerana Allah Ta’ala".

d) Pada malam 16 hingga akhir Ramadhan adalah sunat dibaca [doa] Qunut pada rakaat yang akhir. Lafaz Qunut di sini sama juga dengan lafaz Qunut sembahyang Subuh. Dan jika tidak membaca Qunut ini adalah disunatkan Sujud Sahwi.

Zikir Selepas Solat Witir



Dibaca tiga kali sebelum membaca doa :

Doa Solat Witir



Bermaksud:"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, dan aku berlindung dengan kemaafanMu daripada balasanMu, dan aku berlindung denganMu seperti pujiMu sendiri ke atas diriMu. Maka segala pujian dan sanjungan sehingga Engkau redhai."


Petikan hadith-hadith mengenai puasa dari Sahih Bukhari dan Sahih Muslim


Kelebihan Ramadan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: …Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu

Kelebihan berpuasa
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun

Akhlaq sewaktu berpuasa
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)

Kelebihan bersahur
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya

Kelebihan menyegerakan berbuka
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa

Kelebihan Sembahyang Tarawih dalam bulan Ramadan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu

Kelebihan Lailatulqadar dan galakan untuk mencarinya
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan
Ganjaran untuk amalan yang dilakukan pada malam Lailatulqadar

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu

Beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w biasanya beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan

*I'tikaf:Menetap di masjid dan berdiam diri di dalamnya dengan niat
mendekatkan diri kepada Allah swt. Menumpukan diri dan bertekad bulat untuk berbuat taat dan sentiasa mengingat Allah swt dan mengosongkan hati dari segala yang dapat mengganggu dari mengingat Allah swt.

Menambahkan amal ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti bulan-bulan lain

Makan dan minum kerana terlupa tidak membatalkan puasa
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah

Tidak Batal Puasa Orang Yang Bangkit Dari Tidur Di Waktu Pagi Dalam Keadaan Berjunub
Diriwayatkan daripada Aisyah dan Ummu Salamah r.a, kedua-duanya berkata:: Nabi s.a.w bangkit dari tidur dalam keadaan berjunub bukan dari mimpi kemudian meneruskan puasa

Janganlah berpuasa sehari dua sebelum Ramadan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa

KELEBIHAN SEMBAHYANG SUNAT TARAWIH
Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadhilat (kelebihan) sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadan:
Malam 1 - keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.
Malam 2 - diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka orang beriman).
Malam 3 - berseru Malaikat di bawah ‘Arash supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.
Malam 4 - memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan AL-Quran.
Malam 5 - Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam 6 - Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.
Malam 7 - Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi ‘Alaihissalam menentang musuh ketatnya Fir’aun dan Hamman.
Malam 8 - Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihissalam.
Malam 9 - Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.
Malam 10 - Allah swt mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.
Malam 11 - Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.
Malam 12 - Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).
Malam 13 - Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.
Malam 14 - Datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.
Malam 15 - Semua Malaikat yang menanggung ‘Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Malam 16 - Allah swt tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.
Malam 17 - Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
Malam 18 - Seru Malaikat: Hai Hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati).
Malam 19 - Allah swt tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
Malam 20 - Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.
Malam 21 - Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada Nur.
Malam 22 - Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru hara di Padang Mahsyar).
Malam 23 - Allah swt binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada Nur.
Malam 24 - Allah bukakan peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).
Malam 25 - Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur.
Malam 26 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.
Malam 27 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratulmustaqim seperti kilat menyambar.
Malam 28 - Allah swt kurniakan kepadanya 1000 darjat di akhirat.
Malam 29 - Allah swt kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.
Malam 30 - Allah swt beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman:

“Hai hambaKu: makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama ‘Al-Kauthar’”.


Doa-doa dalam bulan Ramadhan

Hari Pertama

"Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan Ampunilah aku wahai Tuhan maha pengampun daripada segala dosa."

Hari Kedua

"Ya Allah, dekatkan aku kepada keredaan Mu dan jauhkan aku daripada kemurkaan serta balasan Mu. Berilah aku kemampuan membaca ayat-ayat Mu dengan rahmat Mu, wahai Tuhan Maha Pengasih"

Hari Ketiga

"Ya Allah limpahkan aku dengan kecerdikan fikiran dan kewaspadaan serta jauhkan aku daripada kebodohan dan kesesatan. Sediakan bahagian ku daripada kebaikan yang kau turunkan., demi kemurahan Mu, wahai Tuhan Maha Pemurah daripada segala dermawan."

Hari Keempat

"Ya Allah berilah kekuatan kepada ku untuk melaksanakan perintah Mu dan berilah aku kemanisan berzikir. Berilah aku kekuatan melahirkan kesyukuran dengan kemuliaan Mu. Dan jagalah aku dengan jagaan dan perlindungan Mu, wahai Tuhan Maha Melihat."

Hari Kelima

"Ya Allah, tempatkan aku di kalangan orang yang sentiasa memohon keampunan. Jadikanlah aku hamba Mu yang saleh serta jadikanlah aku di kalangan auliya (orang yang mendapat keutamaan Mu) yang hampir di sisi
Mu dengan kelembutan Mu, wahai Tuhan yang Maha pengasih daripada segala pengasih"

Hari Keenam

"Ya Allah, janganlah aku dihina kerana perbuatan maksiat ku kepada Mu dan janganlah menyeksa ku dengan balasan Mu. Jauhkan aku daripada sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Mu, dengan anugerah dan bantuan Mu, wahai kemuncak keinginan orang yang berkeinginan."

Hari Ketujuh

"Ya Allah bantulah aku untuk mengerjakan puasa dan ibadah malamnya. Jauhkanlah aku daripada dosa-dosanya. Dan berilah aku zikir untuk mengingati Mu secara berterusan, dengan taufik (petunjuk) Mu wahai pemberi petunjuk kepada orang yang sesat."

Hari Kelapan

"Ya Allah, berilah aku rezeki berupa kasih sayang kepada anak-anak yatim, pemberi makanan, penyebar salam dan bergaul dengan mulia, dengan kemuliaan Mu tempat berlindung orang yang berharap."

Hari Kesembilan

"Ya Allah, sediakan bagi ku sebahagian daripada keluasan rahmat Mu. Berilah aku petunjuk dengan ajaran-ajaran Mu. Bimbinglah aku menuju keredaan Mu yang penuh dengan kecintaan Mu, wahai harapan orang yang merindu."

Hari Kesepuluh

"Ya Allah, jadikan aku di antara orang bertawakal kepada Mu dan jadikan aku di kalangan orang yang menang di sisi Mu. Ya Allah, jadikan aku di kalangan orang yang dekat di sisi Mu. Dengan ihsan Mu wahai tempat tuju orang yang memohon."

Hari Kesebelas

"Ya Allah, tanamkan dalam diri ku kecintaan melakukan kebaikan dan kebencian melakukan perbuatan maksiat serta fasik. Ya Allah jauhkan ku daripada kemurkaan Mu dan seksaan api neraka, dengan pertolongan Mu wahai Tuhan yang menolong orang memerlukan pertolongan."

Hari Kedua Belas

"Ya Allah, hiasilah diri ku dengan penutup dan kesucian. Tutuplah diri ku dengan pakaian kesederhanaan dan kerelaan. Tempatkan aku di jalan keadilan dan keikhlasan. Amankan diri ku daripada setiap perkara yang aku takut, dengan penjagaan Mu, wahai penjaga orang yang takut."

Hari Ketiga Belas

"Ya Allah, bersihkan diri ku daripada kekotoran dan kehinaan. Berilah kesabaran kepada ku untuk menerima segala ketentuan. Berilah kemampuan kepada ku untuk bertakwa dan bergaul dengan orang baik, dengan bantuan Mu wahai pengharap orang yang miskin."

Hari Keempat Belas

"Ya Allah, jangan aku dihukum disebabkan kekeliruan yang ku lakukan. Ampunkan aku daripada kesalahan dan kebodohan. Janganlah kau jadikan diri ku sasaran bala dan malapetaka, dengan kemuliaan Mu wahai kemuliaan kaum Muslimin."

Hari Kelima Belas

"Ya Allah limpahkan rezeki kepada ku berupa ketaatan orang yang khusyuk. Lapangkan dada ku dengan taubat orang yang menyesal, dengan keamanan Mu wahai keamanan orang yang takut."

Hari Keenam Belas

"Ya Allah, berilah kemampuan kepada ku untuk menjalani kehidupan seperti mana kehidupan orang baik. Jauhkan bagi ku kehidupan orang yang melakukan kejahatan. Lindungilah aku dengan rahmat Mu hingga ke alam akhirat, demi ketuhanan Mu wahai Tuhan sekalian alam."

Hari Ketujuh Belas

"Ya Allah, tunjukkan bagi ku amal kebajikan dan penuhilah hajat serta cita-cita ku, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui segala keperluan tanpa ungkapan permohonan. Wahai yang Maha Mengetahui segala yang ada dalam hati sekalian makhluk. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarga baginda yang suci."

Hari Kelapan Belas

"Ya Allah, sedarkan aku untuk mencari keberkatan. Terangkan hati ku secerah cahaya dan bimbinglah aku serta anggota ku untuk mengikuti segala ajaran Mu, dengan cahaya Mu wahai penerang hati orang yang bijak."

Hari Kesembilan Belas

"Ya Allah, penuhkan bahagian ku dengan keberkatan dan mudahkan bagi ku menuju ke arah kebaikan. Jangan kau jauhkan aku daripada ketenteraman kebaikan, wahai pemberi petunjuk kepada kebenaran."

Hari Kedua Puluh

"Ya Allah, bukakan bagi ku pintu-pintu syurga dan tutupkan bagiku pintu-pintu neraka. Berilah kemampuan kepada ku untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran, wahai pemberi ketenangan dalam hati orang beriman."

Hari Kedua Puluh Satu

"Ya Allah, berilah aku petunjuk untuk mendapat keredaan Mu. Janganlah engkau biarkan syaitan menguasai diri ku. Jadikan syurga tempat tinggal dan berehat bagi ku, wahai pelaksana keperluan orang meminta."

Hari Kedua Puluh Dua

"Ya Allah, bukakan bagi ku pintu kelebihan dan turunkan bagi ku keberkatan mu. Berilah kepada ku untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan keredaan Mu dan tempatkan aku dalam syurga Mu yang luas, wahai penjawab doa orang dalam kesempitan."
Hari Kedua Puluh Tiga

"Ya Allah bersihkan aku daripada segala dosa dan jauhkan diri ku daripada keaiban serta tanamkan ketakwaan dalam hati ku, wahai pengampun kesalahan orang yang berdosa."

Hari Kedua Puluh Empat

"Ya Allah, aku bermohon kepada Mu perkara yang mendatangkan keredaan Mu. Aku berlindung dengan Mu daripada perkara yang mendatangkan kemarahan Mu dan aku bermohon kepada Mu kemampuan untuk mentaati Mu serta menghindari kemaksiatan terhadap Mu, wahai pemberi kepada yang meminta."

Hari Kedua Puluh Lima

"Ya Allah, jadikan aku orang yang menyintai auliya Mu dan memusuhi musuh Mu. Jadikan aku pengikut sunnah nabi Mu, wahai penjaga hati para Nabi."

Hari Kedua Puluh Enam

:"Ya Allah, jadikan usaha ku sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosa ku sebagai dosa yang diampuni, kebaikan ku sebagai kebaikan yang diterima dan keaiban ku sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar."

Hari Kedua Puluh Tujuh

"Ya Allah, berilah rezeki berbentuk ganjaran Lailatul Qadar kepada ku, ubahkan perkara sulit menjadi mudah, makbulkan permintaan maaf ku dan hapuskan dosa serta kesalahan ku, wahai Tuhan Maha Penyayang kepada hamba soleh."

Hari Kedua Puluh Lapan

"Ya Allah, penuhkan hidup ku dengan amalan sunnah dan muliakan aku dengan diterimanya semua permintaan, wahai Tuhan yang tidak disibukkan oleh permintaan orang meminta.

Hari Kedua Puluh Sembilan

Ya Allah, hiasilah aku dengan rahmat Mu dan berikanlah aku petunjuk serta penjagaan Mu. Bersihkan hati ku dengan fitnah, wahai pengasih kepada hamba yang beriman.

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."

Comments

Popular Posts